Hujung minggu terakhir sebelum buka sekolah kami sekeluarga sempat pergi berkelah di Forest Research Institute of Malaysia (FRIM) yang terletak di Kepong, KL. Sebenarnya FRIM dekat sangat dengan rumah kami, cuma beberapa kilometer saja. Ini kali kedua saya bersama anak sulung dan anak kedua datang mandi di sini. Tapi kali ni saya datang satu keluarga termasuklah pembantu rumah dan seorang kawan lama.
Kami sampai dalam pukul 11 pagi, dan memang waktu yang sesuai untuk main air. Cuaca pun memang elok hari itu. Masuk ke FRIM ni sebenarnya dikenakan bayaran, RM5 untuk kereta termasuk pemandu dan tambahan RM1 untuk setiap penumpang dewasa. Sebenarnya bukan air terjun sahaja yang menjadi tarikan di situ, ada lagi aktiviti yang boleh dilakukan seperti jungle tracking, mengayuh basikal dan canopy walkway dan banyak lagi.
Di bawah ada kedai makan dan beberapa gerai serta tandas awam untuk kemudahan pelancong. Untuk sampai ke tempat air terjun yang paling best cuma perlu mendaki sedikit sahaja. Air terjun kat sini bukannya besar sangat, tapi saya suka sebab kawasan serta airnya bersih dan terjaga. Ada banyak tempat yang sesuai untuk duduk bersantai atau boleh gunakan kemudahan wakaf yang disediakan.
Lepas sejam berendam, mestilah lapar. Mujur isteri dah siap bekal, ada nasi ayam special, sandwich sardin dan kerepek. Sesekali makan berkelah memang luarbiasa rasa sedap nasi ayam tu. Habis makan dan solat kami sambung lagi mandi. Selagi tak kecut jari, bibir tak biru takkan nak naik nya budak-budak ni. Akhirnya anak nombor dua surrender sebab dah kesejukan. Mana tidaknya tengok jari dah kecut bibir pun dah lebam. Kami balik dalam pukul 4 petang, puas hati lah rasanya dapat mandi air terjun hari tu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan