, , ,

Panggilan palsu kad kredit Ambank


Panggilan palsu Ambank minta pengesahan transaksi palsu RM3800

Assalamualaikum. Masa menaip perenggan ini degupan jantung saya masih terasa laju. Apa tidaknya kalau tiba-tiba dapat panggilan mengatakan ada transaksi kad kredit berjumlah RM3800 atas nama saya. Panggilan dari nombor 03-2178 8888 adalah rakaman suara wanita Cina bercakap pelat Melayu meminta pengesahan satu transaksi kad kredit Ambank milik saya berjumlah RM3800 di kedai emas dalam KLIA.

Saya dah mula gelabah sebab saya tidak ada kad kredit Ambank dan bukan saya melakukan transaksi tersebut. Melainkan orang lain dah curi maklumat peribadi saya untuk mohon kad kredit dan gunakan tanpa pengetahuan saya. Rakaman suara itu kemudian memberi pilihan tekan 1 untuk mengesahkan transaksi tersebut, tekan 5 untuk ulang atau tekan 9 untuk bercakap dengan pegawai pelanggan Ambank.

Saya tekan butang 9, dijawab oleh seorang lelaki Cina juga yang bercakap pelat Melayu. Dalam hati terdetik adakah ini scam?? Tapi masa itu saya masih lagi percaya yang saya telah ditipu dan menceritakan masalah ini kepada pegawai tersebut. Pegawai itu memberitahu kad kredit itu dipohon oleh saya sendiri pada 6/2/2014 di Plaza OSK Jalan Ampang. Lagi teruk sudah ada tunggakan kredit sebanyak RM6232.40! Aduh..

Bila saya menidakkan semua itu, dia mengatakan yang maklumat saya telah dicuri, kemungkinan semasa saya mengisi borang permohonan kad kredit bersama salinan kad pengenalan. Dia cuba membantu saya dengan menasihati saya menelefon Bahagian Aduan Kad Kredit Bank Negara di talian 03-2788 4901. Ketika ini saya masih percaya kerana 'pegawai' itu bercakap macam pegawai bank sebenar, kedengaran profesional.

Terus saya telefon Bank Negara. Panggilan saya dijawab oleh lelaki Cina. Hmm..semua Cina apahal ni, macam tak kena pula rasanya. Perbualan kami sekejap sahaja kerana dia akan meminta pegawai penyiasat akan menelefon saya kembali untuk siasatan lanjut. Sebelum mereka telefon balik saya cepat-cepat Google dalam internet nombor telefon Bank Negara untuk kepastian, kemudian jumpa artikel ini berkenaan panggilan telefon palsu meminta pengesahan transaksi kad kredit.

Rasanya saya dah kena panggilan palsu ni. Bila "Bank Negara" tu telefon balik saya tak angkat. Kemudian saya telefon Ambank. Selepas bercakap dengan pegawai Ambank barulah rasa lega. Memang sah ini cuma panggilan palsu yang cuba menipu duit orang. Caranya, 'penyiasat' daripada "Bank Negara" akan meminta mangsa (dalam kes ini sayalah) memindahkan wang ke dalam akaun mereka atas alasan untuk melindunginya daripada dicuri atau meminta maklumat sulit akaun seperti nombor pin dan sebagainya.

Peliknya, pegawai Ambank yang jawab panggilan saya juga Cina dan baru perasan yang nombor scammer yang saya jawab mula-mula tadi sama dengan nombor Ambank iaitu 03-2178 8888. Memang profesional scammer macam ni, tak mustahil kalau ramai yang terkena. Bila baca dalam internet sebenarnya modus operandi ini sudah lama sejak 2009 lagi. Harap pihak berkuasa cepat bertindak sebelum orang ramai menjadi mangsa. Lepas ini kena lebih berhati-hati bila dapat panggilan sebegini.

p/s: sehingga ayat ini ditulis beberapa missed call daripada Ambank dan Bank Negara palsu masuk. Malas nak jawab. Degupan jantung sudah kembali normal ;D

Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan