Ejen pembantu rumah yang bermulut manis mungkin seorang penipu |
Ada juga yang langsung tiada pengalaman mengambil pembantu rumah. Perasaan takut dan curiga itu normal bila berurusan dengan ejen yang baru dikenali. Saya tidak salahkan mereka jika terlalu meragui ejen yang saya kenalkan dan hari ini saya ingin berkongsi beberapa tips agar tidak terpedaya dengan ejen pembantu rumah penipu.
Sebaik-baiknya pergi berjumpa dengan ejen tersebut sebelum bersetuju membuat sebarang pembayaran. Setidak-tidaknya bercakap melalui telefon. Mungkin anda lebih memahami personaliti ejen tersebut setelah berbual berbanding hanya berhubung melalui SMS atau Whatssap. Elak berurusan secara langsung dengan ejen di Indonesia kerana ianya sangat berisiko.
Elakkan berjumpa dengan ejen di rumah atau kawasan anda tinggal. Pergilah ke rumah atau tempat kerja ejen tersebut untuk mengambil pembantu rumah. Ada kes dimana ejen datang 'menculik' pembantu rumah untuk dijual kepada majikan lain. Alasan? Anda reka sendiri.
Dapatkan seberapa banyak maklumat mengenai ejen tersebut seperti nama penuh, nama pasangan, alamat tempat tinggal, alamat pejabat dan maklumat kompeni. Pastikan akaun bank yang diberi untuk pembayaran adalah miliknya atau nama syarikat miliknya. Buat pembayaran melalui pindahan wang atau deposit tunai dan simpan resitnya.
Bandingkan harga yang ditawarkan dengan ejen-ejen lain. Kos untuk mengambil pembantu rumah sebelum siap permit sekitar RM5500-6500 sahaja. Kos pembantu rumah beserta permit sekitar RM10,000 hingga RM12,000. Tetapi kosnya boleh mencecah sehingga RM14,000 jika diambil melalui agensi berdaftar.
Ketahui prosedur memohon permit kerja. Kos membuat permit yang dikenakan oleh ejen atau agensi adalah sekitar RM4000-4500 bergantung kepada beberapa faktor. Ini untuk mengelak daripada ditipu ejen apabila memohon permit melalui ejen.
Berhati-hati sekiranya ejen itu seperti mendesak meminta bayaran pendahuluan tanpa memberi butiran lengkap mengenai pembantu rumah yang dijanjikan. Lebih-lebih lagi jika dia meminta bayaran penuh atau tinggi sebagai pendahuluan.
Jika ejen tersebut telah dikenalkan oleh seseorang samada kawan atau saudara-mara. Cuba dapatkan lebih maklumat dan pendapat daripada mereka. Mungkin ada sesuatu yang perlu anda tahu mengenai ejen tersebut. Jika kenal klien-klien dia yang terdahulu lagi bagus.
Temubual pembantu rumah terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Sekiranya tidak boleh berjumpa cubalah berbual melalui telefon. Ini kerana kadang-kadang maklumat yang diterima daripada ejen tidak tepat atau disembunyikan.
Akhir sekali pastikan ada perjanjian bertulis diantara anda dan ejen tersebut sebelum bersetuju mengambil pembantu rumah terbabit. Teliti setiap butiran dalam surat perjanjian tersebut terutamanya tempoh jaminan yang diberikan, proses penggantian dan syarat pemulangan wang.
Walaupun begitu ada juga kes ejen pembantu rumah yang ditipu majikan. Diatas sebab-sebab tertentu ejen bersetuju memberi tempoh beberapa hari kepada majikan untuk membayar jumlah bakinya, namun enggan membayarnya setelah beberapa minggu. Akhirnya ejen itu terpaksa mengambil balik pembantu rumah tersebut dan memulangkan duit majikan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan